Sabtu, 1 Januari 2022

KPS 3014 Pengurusan Pembelajaran

TAJUK 1: SOSIOLOGI DAN PEMBELAJARAN

PENDAHULUAN

Sosiologi telah diperkenalkan oleh Auguste Comte (1798 –1857) dalam bukunya Positive Philosophy (1842). Istilah ini berasal daripada perkataan latin “sosio” bermaksud “berkongsi”. Istilah ini juga merupakan gabungan perkataan Yunani dan Rom yang bermaksud “pengetahuan mengenai masyarakat”. Sosiologi merupakan kajian saintifik tentang masyarakat manusia dan tingkah laku sosial manusia.

Menurut Sharifah Alawiah (1985), sosiologi merupakan satu disiplin sains kemasyarakatan. Sosiologi adalah himpunan pengetahuan asas tentang masyarakat serta tingkah laku sosial mereka secara lebih saintifik don berdisiplin. Ottoway (1964) mendefinasikan sosiologi sebagai satu bidang sains kemasyarakatan. Manakala Mohd Salleh (1998) pula menjelaskan sosiologi sebagai suatu bidang yang mengkaji secara saintifik tentang tingkah laku atau pergaulan masyarakat dan hubungan manusia.

Pembelajaran pula didefinisikan sebagai suatu perubahan dalaman seseorang dan pembentukan perkaitan-perkaitan baharu. Pembelajaran juga merupakan perolehan maklumat dan pengetahuan, penguasaan kemahiran dan tabiat serta pembentukan sikap kepercayaan. Secara umumnya, pembelajaran adalah proses untuk belajar.

ISI-ISI PENTING YANG TERDAPAT DALAM SOSIOLOGI DAN PEMBELAJARAN.

Terdapat tiga teori yang saya pelajari dalam topik ini iaitu:

1.    Teori Fungsionalisme

·         Menurut Auguste Comte

Beliau menjelaskan bahawa masyarakat dan satu institusi itu perlu saling bergantung antara satu sama lain bagi mencapai keharmonian dalam sebuah masyarakat yang stabil.

·         Menurut Emile Durkheim

Beliau telah mengaitkan teori fungsionalisme ini dengan anggota badan yang mempunyai peranan masing-masing dan setiap anggota itu saling bergantung di antara satu sama lain untuk berfungsi.

Oleh itu, teori fungsionalisme ini akan mengkaji perlakuan sosial atau institusi dalam kegiatan yang menyumbang kepada penerusan masyarakat. Masyarakat akan dianggap seperti tubuh yang mempunyai bahagian dengan fungsi tersendiri ada tujuan dan keperluan tertentu. Struktur sosial akan menentukan kelancaran keharmonian dan perjalanan masyarakat. Kelemahan teori fungsional adalah ianya menolak perubahan sosial yang menjejaskan kestabilan sistem sosial kerana mahu kearah peraturan sosial.

2.    Teori Konflik

·         Diperkenalkan oleh Karl Marx.

Menurut Karl Marx, perbezaan kumpulan ‘Berada’ dan ‘Tidak Berada’ dalam masyarakat akan mewujudkan ketegangan akibat perbezaan dalam permintaan hidup seperti perebutan kuasa bagi kumpulan atasan manakala kumpulan bawahan meminta bahagian hak mereka daripada kumpulan atasan.

Teori konflik ini dapat dikaitkan dengan pendidikan di sekolah melalui susun lapisan sosioekonomi ibubapa pelajar di sekolah. Hal ini akan mempengaruhi layanan guru dan murid-murid dengan pelajar yang mempunyai sosioekonomi keluarga yang rendah. Pelajar yang dari keluarga sosioekonomi yang rendah akan mendapat layanan yang berlainan daripada pelajar yang mempunyai profil keluarga yang tinggi.

 

3.    Teori Interaksionisme

·         Diperkenalkan oleh George Herbert Mead (1863-1931)

Beliau telah mengkritik teori fungsionalisme dan teori konflik. Menurut teori interaksionisme manusia tidak pasif dan menekankan bahawa interaksi sosiallah yang membentuk realiti. Teori ini memberikan fokus kepada melihat cara tingkah laku pelajar yang tidak baik berinteraksi dengan guru. Tingkah laku pelajar tidak baik di sekolah tidak dikaitkan oleh latar belakang kelas sosial dalam masyarakat.

RUMUSAN

Kesimpulannya, terdapat perbezaan yang jelas antara teori-teori iaitu didapati bahawa perkara yang diutamakan oleh ahli-ahli fungsionalisme dan konflik ialah bagaimana cara untuk menyatukan masyarakat dan bagaimanakah perubahan sosial berlaku. Manakala ahli-ahli teori interaksionisme lebih menumpukan proses hubungan bersemuka individu dalam konteks kehidupan sosial. Dengan kata lain penganalisisan mereka berbeza daripada aspek makro dan mikro

RUJUKAN

Abdul Malek Bilal Sidek (1995) Pengurusan Sumber Pengajaran Dan Pembelajaran. Kuala Lumpur DarulFikir Z675 A23 1995.

Amir Hasan Dawi (2002) penteorian sosiologi dan pendidikan (edisi kedua). Tanjung Malim: Quantum Books.